a

ISRA - The International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance

Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara (MUZAKARAH-13)

#MUZAKARAH13

The Rizqun International Hotel, BRUNEI
23 – 24 Julai, 2019

Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara kali ke-13 (MUZAKARAH-13) merupakan program tahunan anjuran Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA). Pada tahun ini, MUZAKARAH-13 akan dianjurkan bersama dengan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 23-24 Julai 2019 bersamaan 20-21 Zulkaedah 1440H di The Rizqun International Hotel, Gadong, Negara Brunei Darussalam. Dalam usaha untuk mengekalkan semangat MUZAKARAH seperti tahun-tahun sebelumnya, MUZAKARAH-13 mengetengahkan tema “Sinergi Antara Institusi Kewangan Islam dan Obligasi Sosial: Isu dan Halatuju” yang merupakan kesinambungan kepada perbincangan MUZAKARAH-12 yang diadakan di Hotel Duangjitt Resort & Spa, Phuket, Thailand pada 3-4 Julai 2018 bersamaan 18-19 Syawwal 1439H. Terdapat pelbagai isu Syariah yang perlu diteliti khususnya berkaitan dengan zakat dan dana sosial dalam sistem kewangan Islam.

Justeru, MUZAKARAH-13 akan memperuntukkan satu sesi khas berkaitan ‘Pelunasan hutang tertunggak pelanggan bank melalui dana zakat, dana kebajikan (charitable fund) dan dana penyucian (purification fund)’. Sesi ini akan memberi peluang kepada para ulama, cendekiawan dan pengamal kewangan Islam untuk mengupas dan membahaskan isu ini dengan lebih mendalam dan seterusnya mencapai kata sepakat dalam penetapan hukum Syarak. Di samping itu, terdapat satu sektor dalam kerangka kewangan Islam yang kurang ditekankan dalam aspek perbincangan zakat iaitu pasaran modal Islam. Seperti sedia maklum, pasaran modal Islam merupakan satu sektor penting dengan potensi pungutan zakat yang sangat besar. Oleh itu, satu analisis Syarak yang komprehensif perlu dilakukan oleh pakar-pakar kewangan Islam bagi memberikan penetapan hukum zakat terhadap instrumen-instrumen kewangan tersebut. Isu-isu seperti instrumen kewangan yang dibeli untuk didagangkan dalam jangkamasa pendek (short-term trading) atau untuk menikmati keuntungan dan dividen menerusi dagangan jangka masa panjang (long-term investment) perlu diteliti bagi menetukan kewajiban zakat ke atasnya.

Maklumat lanjut, sila layari: https://muzakarah.isra.my/