Speaker : Dato' Muhammad bin Ibrahim
Tempat : Millennium Hotel, Sirih, Jakarta, Indonesia
Tarikh : 10 Jun 2015 
Bahasa :
 

Saya ingin mengucapkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta`ala kerana dengan limpah kurniaNya, Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-Sembilan dapat diadakan di kota Jakarta.  Majlis ini merupakan kali kedua diadakan di Jakarta sejak tahun 2009.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullaah (UIN) Jakarta dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam atau ISRA atas inisiatif mereka menganjurkan Muzakarah ini.

Majlis Muzakarah ini bermula pada tahun 2006 oleh Bank Negara Malaysia, kemudiannya diteruskan oleh ISRA. Hasrat pertubuhan hanya satu; iaitu untuk memupuk persefahaman dan kerjasama erat antara para ilmuan Syariah dalam kalangan rumpun Nusantara berhubung dengan isu-isu fiqh muamalat dan kewangan Islam.

Melalui platform sebegini, visinya adalah untuk mencetuskan idea dan pandangan baharu dalam kalangan ulama dalam suasana penuh toleransi dan hormat-menghormati, walaupun kebanyakan kita datang dari berlatar belakang perbezaan budaya, ekonomi dan struktur politik.

Pada hari ini, saya ingin berkongsi pandangan dengan tuan-tuan dan puan-puan tentang tiga perkara berikut:

  1. Memperkasakan peranan ahli Syariah;
  2. Memupuk dinamisme ijtihad dalam persekitaran kontemporari; dan
  3.  Menyemai semangat saling menghormati dalam kepelbagaian penafsiran Syariah.

 

Memperkasakan Peranan Ahli Syariah

Landskap kewangan Islam masa kini telah melalui banyak perubahan dan kemajuan berbanding 10 tahun yang lalu. Perubahan ini dapat dilihat pada peningkatan aset perbankan global yang telah mencecah hampir USD1.5 trilion, jumlah "outstanding" sukuk sebanyak USD295 bilion, aset dana secara Islam sebanyak USD76 bilion dan sumbangan takaful sebanyak USD21 bilion (Sumber: IFSB: 1H 2014). Selain itu, penyertaan jurisdiksi dari negara bukan Islam semakin meningkat khususnya dalam penerbitan sukuk. Ini menggambarkan penerimaan yang semakin positif masyarakat dunia terhadap kewangan Islam.  Instrumen sukuk kini menjadi antara instrumen yang paling inovatif dan mendapat perhatian oleh kerajaan dan syarikat multinasional.

Sebagai respons kepada perkembangan ini, peranan dan harapan (expectation) ahli Syariah dilihat menjadi lebih mencabar bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu Syariah baru yang timbul dan memerlukan tindak balas segera daripada ahli Syariah. Saya juga melihat perubahan landskap kewangan Islam ini sebagai satu peluang keemasan untuk para ahli Syariah untuk membuktikan dinamisme ugama Islam sebagai sesuatu yang sentiasa segar dan bergerak mengikut peredaran masa. Justeru, saya mempunyai harapan besar agar peranan yang dimainkan ahli Syariah dapat diperkasakan lagi dan tidak hanya terhad kepada aspek penentuan dan pengawasan pematuhan Syariah semata-mata.

Dalam hubungan ini, saya berpendapat supaya kajian dan pertimbangan terperinci perlu mengambilkira pertimbangan disiplin ilmu yang lain supaya sesuatu ijtihad atau keputusan Syariah yang dibuat akan bersifat komprehensif, inklusif dan praktikal. Ia menjadi lebih penting jika ia melibatkan strategi dan kedudukan ummah dalam sektor ekonomi.  Pengkajian Syariah dengan input dan dapatan daripada disiplin-displin serta variasi ilmu yang pelbagai akan memberi nilai tambah yang tinggi kepada kajian Syariah berkenaan. Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi penglibatan aktif golongan profesional dalam proses kajian isu-isu Syariah. Menerusi pendekatan ini, saya yakin kita akan dapat merumus satu ijtihad secara kolektif yang bersifat menyeluruh, berbanding ijtihad yang terpinggir dan eksklusif.

Dalam hal ini, Malaysia telah mengambil keputusan menggalakkan gabungan kepakaran serta pengalaman antara para ahli Syariah dengan para profesional  menerusi jawatankuasa Syariah institusi kewangan Islam. Malah, kita juga menggalakkan ahli Syariah yang layak, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah institusi kewangan Islam sebagai ‘jambatan' atau penghubung di antara ahli lembaga dan ahli jawatankuasa Syariah.  Pada masa yang sama, mereka dapat didedahkan dengan suasana operasi dalam pengurusan sesebuah institusi kewangan Islam.  Proses berkongsi dan berbincang ilmu Syariah dan disiplin ilmu Islam yang lain dengan ahli-ahli lembaga pengarah institusi kewangan berkenaan dapat memperkayakan rasional sesuatu keputusan sebelum ia ditetapkan.

Satu lagi aspek yang utama adalah pentingnya diberi penekanan di mana ahli Syariah perlu mengetahui secara mendalam impak ijtihadnya kepada pertumbuhan industri kewangan Islam serta kesannya kepada masyarakat secara umum. Setiap ijtihad seharusnya sentiasa menjurus ke arah harmonisasi dan bukan melebarkan jurang perbezaan.  Jika terdapat jurang perbezaan walaupun hanya persepsi, ia boleh menimbulkan keraguan dan mengurangkan keberkesanan sesuatu keputusan. Dalam konteks ini, sebahagian besar daripada ahli Jawatankuasa Syariah dalam sistem kewangan Islam di Malaysia sedang mengikuti program Shariah Leadership Education (SLE) yang telah dimulakan sejak awal tahun ini. Program ini antara lain bertujuan mendedahkan kepada ahli-ahli Syariah tentang asas-asas kewangan dan memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam mencorakkan hala tuju kewangan Islam di Malaysia.

Objektifnya adalah untuk memastikan semua aspek operasi, perundangan dan Syariah diamblikira sebelum sesuatu keputusan Syariah dibuat.

Aspek Ijtihad dalam Persekitaran Kontemporari 
Perkara kedua yang saya ingin utarakan ialah aspek ijtihad dalam persekitaran kontemporari. Sejajar dengan kematangan sektor kewangan Islam, isu-isu Syariah turut menjadi bertambah kompleks dan mencabar. Dalam hal ini, ijtihad yang dibuat oleh para ahli Syariah pada dasarnya perlu dipaksikan kepada kaedah dan prinsip hukum Syarak. Namun begitu, dalam masa yang sama, ahli-ahli Syariah juga perlu meneliti dan menekuni persekitaran kontemporari yang sentiasa berkembang pesat terutamanya dalam bidang teknologi komunikasi.

 Saya ingin memetik kaedah fiqh iaitu:


yang membawa maksud "hukum ke atas sesuatu perkara itu bergantung kepada perspektif dan tasawwur terhadap perkara tersebut."

 

Malah kaedah fiqh:

menyatakan bahawa "hukum itu boleh berubah mengikut peredaran masa, tempat dan latarbelakangnya". Aplikasi kaedah ini adalah lebih ketara dalam perkara-perkara ijtihadi yang matlamatnya adalah untuk memelihara kemaslahatan ummah. Oleh itu, saya percaya apabila pengkajian Syariah mempertimbangkan latarbelakang kontemporari dan budaya persekitaran, sudah pasti keputusan ijtihad yang dibuat akan lebih substantif dan matang dengan menjunjung prinsip-prinsip Syariah yang unggul.

Dalam masa yang sama, tidak kurang pentingnya juga ialah sebarang keputusan dan resolusi Syariah mestilah didokumenkan secara kemas dan teratur berserta hujah-hujah yang digunapakai dalam menyokong keputusan tersebut. Ianya sangat penting kerana ia merupakan titik permulaan untuk memudahkan perbincangan dalam kalangan pakar-pakar Syariah sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa dan memastikan kefahaman dan ketelusan ke arah memahami dan menghargai khazanah ilmu tersebut. Ia juga boleh memberikan panduan dan warisan budaya ilmu kepada generasi akan datang. Dan lebih penting mendokumenkan pendapat dan justifikasi untuk sesuatu rumusan.

 

Semangat Saling Menghormati dalam Kepelbagaian Penafsiran Syariah
Perkara ketiga yang saya ingin kongsikan ialah memupuk semangat saling hormat menghormati dalam menangani kepelbagaian penafsiran Syariah. Memang lumrahnya bidang Syariah khususnya fiqh akan terdapat perbezaan pendapat dan pandangan dalam kalangan ulama tentang penafsiran Syariah. Dalam bidang ibadah, ada kalanya perbezaan pandangan ini menjadi rahmat kepada kita kerana ia dapat memberi jalan keluar kepada sesuatu kerumitan dalam melaksanakan sesuatu amalan ibadah. Tambahan pula, amalan ibadah khusus lebih kepada hubungan kita dengan Allah. Malah dalam sejarah tamadun Islam, perbedaan pendapat dan pandangan merupakan sebab utama peradaban Islam telah berkembang dengan pesatnya.

Dalam konteks muamalat kewangan, perbezaan pendapat pastinya lebih lazim kerana suasana, latarbelakang, budaya, masyarakat yang berbeza pasti akan menghasilkan pelbagai penafsiran dalam satu-satu isu. Dari aspek lain, ia adalah satu perkara positif kerana memberi ruang lingkup yang luas kepada ilmuan Syariah untuk membuat rujukan dan untuk memahami sebab-musabab sesuatu hukum Syariah itu. Walau bagaimanapun, dalam konteks muamalat, ia boleh menimbulkan kesulitan dalam urusan transaksi kerana penafsiran yang berbeza akan menyukarkan pihak-pihak yang ingin berkontrak. Ia lebih ketara khususnya dalam sistem kewangan Islam yang dikawalselia oleh bank pusat, yang pada kebiasaannya ingin menekankan aspek penyeragaman dalam polisi dan amalan kewangan supaya pematuhan di kalangan institusi lebih konsisten.

Sehubungan itu saya ingin menyarankan perkara-perkara berikut yang mungkin boleh menjadi titik permulaan penyelesaian ke atas perkara yang saya sebut tadi:-

  1. Muzakarah ini perlu mempunyai matlamat untuk semua ilmuan bersetuju dalam satu-satu isu Syariah yang penting, yang boleh dijadikan asas dan panduan kepada pengamal kewangan; misalnya semua fuqaha Nusantara bersetuju bahawa kontraktawarruq boleh digunakan dalam keadaan tertentu, dan tidak boleh digunakan dalam keadaan-keadaan lain;
  2. Muzakarah juga boleh bersetuju untuk berbeza pandangan dalam satu-satu isu Syariah, dan mengambil sikap menghormati pandangan berbeza tersebut, malah mempertahankan hak sesuatu jurisdiksi dalam Nusantara ini menggunakan pandangan yang mungkin kontroversial pada pihak yang lain. Contohnya Malaysia mengharuskan penggunaan Bai' Dayn dalam keadaan tertentu. Katakan terdapat jurisdiksi yang tidak bersetuju dengan penggunaan Bai' Dayn oleh Malaysia. Namun keputusan fuqaha Malaysia mengharuskan Bai' Dayn perlu dihormati dan atas semangat rumpun Nusantara akan mempertahankan hak Malaysia untuk menggunakan kontrak berkenaan kerana ia dibuat selaras dengan budaya, amalan serta sistem ekonomi dan perundangan yang sedia ada.
  3. Muzakarah boleh memikirkan untuk bekerjasama bagi membina satu piawaian Syariah yang seragam di peringkat Nusantara. Malaysia telah memulakan inisiatif ini dengan penggubalan 13 standard Syariah, dan alangkah baiknya jika negara Nusantara lain jika dipersetujui dapat membina standard yang sama yang akhirnya dapat digabung dan disatukan sebagai satu standard Syariah yang digunapakai untuk seluruh Nusantara ini, malah boleh menjadi tanda aras (benchmark) kepada negara Islam yang lain.

Penutup
Proses transformasi sektor kewangan Islam yang pesat secara langsung akan mempengaruhi penentuan hukum Syarak terhadap sesuatu isu kontemporari. Perubahan ini memerlukan kesediaan para cendekiawan Syariah untuk memainkan peranan yang lebih besar dan berinteraksi dengan pelbagai disiplin ilmu dalam memperkaya dan memantapkan ijtihad dengan perspektif baharu berlatarbelakangkan landskap kontemporari. Inovasi ini hanya akan terjana melalui atmosfera keterbukaan minda dan anjakan paradigma, yang berdasarkan kefahaman kepada objektif Syariah yang jelas.

Selaku barisan hadapan kewangan Islam, adalah menjadii tanggungjawab para cendekiawan Syariah untuk menggalakkan amalan terbaik dalam Syariah melalui ijtihad kontemporari yang inklusif, sejajar dengan persekitaran operasi yang berkembang pesat.

Akhir kata, saya berharap agar muzakarah pada kali ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan. Sekian, saya akhiri ucapan saya dengan kata-kata Imam Ibnu Taimiyyah yang membawa maksud:

"Sesungguhnya antara tunjang utama yang disepakati dalam agama adalah penyatuan hati, persepakatan pandangan dan perdamaian sengketa dengan cara yang baik".

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Kali Ke-Sembilan.
Wabillahi taufik wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.