GIFF merupakan platform bagi pengawal selia, Cendekiawan Syariah, pemimpin industri terkemuka dan peserta pasaran kewangan dari seluruh dunia untuk berbincang dan saling bertukar pendapat serta pandangan tentang pertumbuhan dan peluang dalam pengantarabangsaan kewangan Islam serta potensinya untuk memperkukuh kesalinghubungan ekonomi merentas sempadan.
Pelbagai program serentak akan diadakan bersempena GIFF 2012. Ini termasuk sesi Executive Masterclass Model Urusan Perbankan dan Pengurusan Risiko dalam Kewangan Islam, Persidangan Pengurusan Mudah Tunai Islam Global, Forum Pembiayaan Mikro Islam dan Rangkuman Kewangan, Forum Meningkatkan Hubungan Ekonomi Antara Negara, Forum Percukaian Kewangan Islam Global, Forum Cendekiawan Syariah Antarabangsa, Forum Pengawal Selia, Sesi Pertemuan Takaful, Forum Pasaran Modal Islam Antarabangsa dan Bengkel PKS Mengenai Memanfaatkan Peluang Pembiayaan Islam.
Penyertaan ke GIFF 2012 adalah melalui undangan sahaja. Berikutan minat global yang semakin mendalam terhadap kewangan Islam, forum ini dijangka menarik minat peserta dari dalam dan luar negeri. Pegawai kanan dari agensi pengawalseliaan, badan berkanun, agensi Kerajaan dan institusi kewangan Islam dan konvensional, serta peserta pasaran kewangan dan penyedia perkhidmatan profesional di Malaysia dan luar negeri boleh menghantar permohonan untuk hadir ke forum ini melalui laman sesawang GIFF 2012. Mereka yang berjaya untuk menyertai forum ini akan dimaklumkan oleh pihak penganjur melalui e-mel. Untuk keterangan lanjut mengenai GIFF 2012 dan untuk pendaftaran, sila lawati www.GIFF.com.my.
Bank Negara Malaysia
21 Jun 2012
No. Ruj: 06/12/04 Untuk siaran segera